Saturday, 2 February 2013

Cara-Cara Bertaubat


Antara cara-cara dan makna taubat menurut syara ialah:
1.Menyedari besarnya dosa yang dilakukan sehingga menyesalinya dan menggeruni balasannya yang akan tertimpa diakhirat kelak jika tidak bertaubat, sebagaimana sabda Rasullullah sallallahu alaihi wa-sallam:

اَلنَّدَمُ تَوْبَةٌ
Menyesali (dosa) itu adalah taubat.

2.Berniat serta berusaha sedaya upaya menjauhi dan meninggalkan dosa yang telah dilakukan dan bertekad tidak akan mengulanginya lagi.

3.Meninggalkan setiap apa yang dibenci dan diharamkan oleh Allah lahir dan batin, lantas beralih kepada yang dicintai dan diredhaiNya.

4.Bertaubat dengan taubat nasuha sebagaimana firman Allah:

يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا تُوْبُوْا اِلَى اللهِ تَوْبَةً نَّصُوْحًا عَسَى رَبُّكُمْ اَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِيْ مِنْ تَحْتِهَا اْلاَنْهَارُ

Hai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang semurni-murninya), mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.

Sememangnya sudah tercangkup dalam agama Islam pengertian taubat. Kerana taubat adalah hakikat Islam, iman dan ihsan yang meliputi semua tingkatan ibadah, amal dan tingkah laku seorang mukmin, dari awal hinggalah kepengakhir hidupnya. Oleh itu, setiap mukmin wajib menyedari dan mengetahui hakikat taubat dan menerapkan dalam ilmu dan kehidupannya. Orang yang suka bertaubat amat mulia di sisi Allah dan dicintaiNya. Allah Azza wa-Jalla bergembira dengan taubat seseorang mukmin sehinggalah ia menjadi kekasihNya. Allah berfirman:
اِنَّ اللهَ يُحِبُّ التَّوَّابِيْنَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِيْنَ.

Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang mahu bertaubat dan orang-orang yang mahu membersihkan dirinya sendiri.

Orang yang leka atau tidak mahu bertaubat, kemudian menyerahkan nasibnya kepada qada dan qadar, maka ia adalah seorang yang amat jahil, telah meninggalkan perintah Allah, seorang yang sombong, tidak sedar diri, dan telah menzalimi darinya sendiri sebagaimana firman Allah Azza wa-Jalla:

وَمَنْ لَّمْ يَتُبْ فَاُوْلَئِكَ هُمُ الظَّالِمُوْنَ.

Dan barangsiapa yang tidak mahu bertaubat maka mereka itulah orang-orang yang zalim.


No comments:

Post a Comment